Radio Online

e-Link

Tuesday, January 31, 2017

Jatuh moto dilanggar kereta di Nilai - Lebuhraya PLUS

 
Lagi kemalangan motosikal berlaku di Lebuhraya Utara Selatan, arah utara. Kali ini mangsa berusia 21 tahun berasal dari Kemayan, Pahang yang dikatakan terjatuh secara tiba-tiba disebabkan lost-control. Al-Fatihah buat Allahyarham.


NILAI - Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 280.7 Lebuh Raya Utara - Selatan, arah utara, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, mangsa, Abu Burhan Isa, 21, yang berasal dari Kemayan, Pahang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Zaldino Zaludin, berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z secara berseorangan secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas, lalu jatuh ke lorong kanan jalan.

“Dalam masa sama, sebuah Perodua Kancil yang berada di lorong itu tidak sempat mengelak, lalu melanggar mangsa yang terjatuh,” katanya di sini, semalam.

Akibat kejadian itu, katanya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke unit forensik Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk tindakan lanjut.

Zaldino berkata, pemandu Perodua Kancil, seorang wanita berusia 35 tahun bagaimanapun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 30/01/2017 oleh Sinar Harian
Info Gambar: Gambar motosikal Yamaha 125 Z jatuh di lebuhraya.

Thursday, January 26, 2017

Suami pukul isteri sampai mati


Kejadian ini berlaku di Taman Semarak, Nilai. Dimana si suami memukul isterinya secara berjemaah dengan rakan-rakannya. Ade ke patut?
NILAI - Seorang isteri maut dipercayai dipukul suami dan tiga rakannya yang lain di rumah sewanya di Flat Taman Semarak, di sini, 4 Julai lalu. ‎Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu, isteri mangsa berusia 25 tahun itu ditemui terbaring tidak bernyawa di ruang tamu rumah yang baru disewa dua bulan bersama tiga yang lain.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat dipukul dengan objek tumpul berikutan terdapat kesan luka dan darah di belakang kepala mangsa.

"Kita telah menahan suami mangsa berusia 22 tahun dan rakannya berusia 25 tahun sejurus kejadian.

"Hasil siasatan awal kedua-dua mereka mengaku memukul mangsa bersama dua lagi lelaki dan seorang perempuan yang dikenali,"katanya.

Menurutnya, suspek bertindak memukul mangsa dengan menggunakan helmet, kayu mop, kayu bulat dan payung.
"Suspek telah membuang barang-barang tersebut ke dalam Sungai Mahang bagi menghapuskan bukti.

"Suspek kemudiannya membuat report di balai polis dengan mendakwa isterinya ditemui tidak bernyawa selepas tiga hari dia tidak pulang ke rumah,"katanya.

Zaldino berkata, polis telah merampas barang-barang yang digunakan suspek yang ditemui ditepi dan dalam Sungai Mahang.
‎"Antara barang yang dirampas ialah dua batang cerut, satu kayu bulat, satu kayu mop, dua helmet, plastik hitam, payung, tuala putih dan tali pinggang.
‎"Semua barang ini dijadikan senjata memukul mangsa dan tuala digunakan untuk cuci dan lap darah mangsa ditempat kejadian,"katanya.

Menurutnya, dua lagi suspek iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan berusia 20-an telah ditahan di Selangor semalam, bagi membantu siasatan.
‎"Motif kejadian dipercayai cemburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 12/07/2016 oleh Sinar Harian : Isteri maut dipukul suami
Info Gambar: Google

Gambar Kebakaran Kilang Sarung Tangan A1 Glove di Nilai


Gambar Kilang Sarung Tangan A1 Glove terbakar di Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan pada 23 Januari 2016.Di bawah naungan A1 Glove Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada tahun 2009 terletak berhampiran Nilai 3.
NILAI - Anggota Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran sebuah kilang sarung tangan di Nilai 3, di sini, yang berlaku kira-kira jam 11 pagi semalam.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Ahmad Ridwan Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.02 pagi.

“Dua jentera bersama 15 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kita turut menerima bantuan dari Balai Bomba Mantin dan Seremban 2 dengan kekuatan sebuah jentera dan lori tangki disertai seramai lapan anggota.

“Sebaik tiba, kelihatan api dalam bangunan sedang marak. Kebakaran dipercayai berpunca dari mesin kilang sebelum merebak ke bahagian pejabat,” katanya.

Menurutnya, kilang bersaiz 100 x 150 kaki persegi itu berjaya diselamatkan apabila hanya terbakar 40 peratus.

"Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal api sebelum berjaya memadam keseluruhannya kira-kira jam 12.45 tengahari.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana para pekerja telah selamatkan diri dengan bertindak keluar dari bangunan kilang sejurus kejadian.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak forensik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 24/01/2017 oleh Sinar Harian:Kilang sarung tangan terbakar
Info Gambar: Facebook.

Sumber Video: Facebook

Friday, March 25, 2016

Lori terbakar di Lebuhraya Nilai - Lebuhraya PLUS


Kali ini seperti dalam gambar Lori yang membawa muatan sayur terbakar di tepi Highway Nilai Lebuhraya Utara-Selatan (Arah Selatan) pada petang Rabu 24 Mac 2016. Alhamdulillah, pemandu yang terlibat tidak mengalami kecederaan, dan juga tidak melibatkan kenderaan lain di highway berkenaan.

Highway PLUS (Nilai) ni banyak berlaku kemalangan, jadi sila berhati-hati ya ketika memandu.
NILAI - Sebuah lori 24 tan yang membawa muatan sayur musnah, apabila terbakar dalam perjalanan di Kilometer 272.9 Lebuhraya Plus arah Selatan petang tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu, bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan apabila pemandu lori, Isham Md Don, 42, dan pembantunya, Samri Hasan, 25, sempat menyelamatkan diri.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd Syazwan Saidy berkata, lori yang dalam perjalanan dari Selayang ke Johor Bahru itu, berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam masa 10 ke 15 minit.

Katanya, seramai 10 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja pemadaman.

"Sebaik sahaja sampai ke lokasi, kita dapati api sedang marak dan kerja-kerja pemadaman segera dijalankan.

"Kebakaran dipercayai berlaku dibahagian belakang dan memusnahkan hampir kesemua bahagian badan lori itu, namun kita berjaya mengawalnya dari merebak di bahagian depan," katanya kepada Sinar Harian.

Kemusnahan kebakaran dijangka sebanyak 60 peratus. Tambahnya, jumlah kerugian dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 24/03/2016 oleh Sinar Harian
Info Gambar: Anggota bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan sebuah lori sayur di Kilometer 272.9 Lebuhraya Plus arah Selatan petang tadi.

Monday, March 14, 2016

Kemalangan Lori di Nilai - Lebuhraya PLUS

Lagi kemalangan berlaku di Highway Nilai Lebuhraya Utara-Selatan  (Arah Selatan) pada pagi Sabtu yang lalu. Kali ini melibatkan Lori simen yang terbabas disebabkan mengelak kereta yang dipandu secara merbahaya. Mujur lori tersebut tidak menjadikan kenderaan lain sebagai mangsa kemalangan juga.

Beringatlah kita semua, supaya berhati-hati memandu agar tidak menyusahkan orang lain menjadi mangsa di atas kecuaian kita.


NILAI - Sebuah lori simen terbabas lalu masuk longkang dalam kemalangan di Kilometer 275 Lebuhraya Utara - Selatan, arah Selatan, di sini, sekitar jam 7.52 pagi semalam.
Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fauzi Shamir berkata, bagaimana pun pemandu terbabit yang berusia 40 tahun hanya mengalami cedera ringan di bahagian bawah mata kiri.
“Pada awalnya, kita dimaklumkan ada kejadian lori simen terbakar. Sebab itu sebuah jentera, termasuk tangki air dan kenderaan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dikejarkan ke sana.
“Tapi setibanya di lokasi, kita dapati tidak berlaku sebarang kebakaran. Sebaliknya lori berkenaan hanya terbabas ke dalam longkang,” katanya.
Justeru, kata Mohd Fauzi, tiada proses pemadaman dilakukan dan pihaknya sekadar memberikan rawatan awal kepada mangsa.
“Selain itu, kita bertindak memotong tiang lampu yang mengganggu lalu lintas akibat dirempuh lori tersebut. Lebih kurang 10 minit diperlukan untuk menyudahkannya.
“Difahamkan, lori dipandu mangsa hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kenderaan lain yang didakwa memotong dalam keadaan bahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 13/03/2016 oleh Sinar Harian
Info Gambar: Pemandu Lori dibantu oleh anggota BOMBA Nilai.

Saturday, March 12, 2016

Gambar Kebakaran di Kilang Recron, Nilai


Gambar Kilang Recron terbakar di Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan pada 10 Mac 2016. Dulu dikenali sebagai Kilang Hualon.


NILAI - Dua lelaki pekerja sebuah kilang tekstil di Kawasan Perindustrian Nilai, di sini, cedera ringan akibat terkena serpihan letupan dalam kebakaran, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan, kira-kira 10.20 pagi.

“10 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mantin dan Seremban 2 termasuk Unit Bahan Bahaya (Hazmat) dan Perkhidmatan Respon Perubatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi dengan kekuatan seramai 40 pegawai dan anggota.

“Sebaik sampai, semua pekerja telah pun berada di kawasan selamat dan dua pekerja asing berusia 30-an yang cedera sudah pun dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini  untuk mendapatkan rawatan,” katanya di sini, semalam.

Norazam berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kebakaran terbabit berpunca daripada bilik utama pendingin hawa di tingkat empat yang terbakar sebelum merebak ke tingkat satu bangunan.

Menurutnya, api berjaya dikawal kira-kira 11.50 pagi dan operasi keseluruhan berakhir jam 1.55 petang.

Namun siasatan lanjut akan terus dijalankan dan kos sebenar kerugian masih belum dikenal pasti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 11/03/2016 oleh Sinar Harian:Kilang terbakar, dua pekerja cedera
Info Gambar: Facebook.





Sumber : Facebook

Wednesday, December 25, 2013

Lokasi mayat tanpa kepala dan tangan dijumpai di Nilai 3

Pembunuhan semakin menjadi-jadi di Negara kita saban hari, kini dikongsikan kisah penemuan mayat tanpa kepala dan tangan di Taman Desaria, Nilai 3. Penulis berharap, semua penduduk dan masyarakat berhati-hati dalam berurusan dengan orang yang tidak dikenali.
Nilai: Penemuan mayat berulat dipercayai wanita tanpa kepala dan kedua-dua tangan mengejutkan orang ramai sejurus melalui sebuah longkang besar di Taman Desaria, Nilai 3, berhampiran sebuah kilang, di sini, semalam.

Mayat yang ditemui kira-kira jam 1.30 tengah hari itu membuatkan orang ramai panik seketika selepas menghidu bau busuk dari longkang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, pihaknya menerima maklumat awam penemuan mayat itu di sebuah longkang sedalam lebih enam meter. Katanya, siasatan mendapati, mayat terbabit ditinggalkan minggu lalu di kawasan lain sebelum dipercayai dibawa arus ke longkang berkenaan berikutan hujan pagi semalam.


“Berikutan hujan lebat pagi tadi (semalam), mayat yang kemungkinan mati mengejut atau sebaliknya itu dibawa arus ke longkang terbabit. “Bagaimanapun, setakat ini kami percaya mangsa meninggal sejak minggu lalu,” katanya.

Ditanya sama ada membabitkan kes bunuh, rogol atau sebaliknya, Mohd Yusoff berkata, ia masih dalam siasatan kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan keadaan mayat yang sudah reput.

Artikel ini disiarkan pada : 25/12/2013 oleh myMetro
Info Gambar: ANGGOTA polis memeriksa lokasi penemuan mayat wanita.