Radio Online

e-Link

Friday, March 25, 2016

Lori terbakar di Lebuhraya Nilai - Lebuhraya PLUS


Kali ini seperti dalam gambar Lori yang membawa muatan sayur terbakar di tepi Highway Nilai Lebuhraya Utara-Selatan (Arah Selatan) pada petang Rabu 24 Mac 2016. Alhamdulillah, pemandu yang terlibat tidak mengalami kecederaan, dan juga tidak melibatkan kenderaan lain di highway berkenaan.

Highway PLUS (Nilai) ni banyak berlaku kemalangan, jadi sila berhati-hati ya ketika memandu.
NILAI - Sebuah lori 24 tan yang membawa muatan sayur musnah, apabila terbakar dalam perjalanan di Kilometer 272.9 Lebuhraya Plus arah Selatan petang tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu, bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan apabila pemandu lori, Isham Md Don, 42, dan pembantunya, Samri Hasan, 25, sempat menyelamatkan diri.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd Syazwan Saidy berkata, lori yang dalam perjalanan dari Selayang ke Johor Bahru itu, berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam masa 10 ke 15 minit.

Katanya, seramai 10 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja pemadaman.

"Sebaik sahaja sampai ke lokasi, kita dapati api sedang marak dan kerja-kerja pemadaman segera dijalankan.

"Kebakaran dipercayai berlaku dibahagian belakang dan memusnahkan hampir kesemua bahagian badan lori itu, namun kita berjaya mengawalnya dari merebak di bahagian depan," katanya kepada Sinar Harian.

Kemusnahan kebakaran dijangka sebanyak 60 peratus. Tambahnya, jumlah kerugian dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 24/03/2016 oleh Sinar Harian
Info Gambar: Anggota bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan sebuah lori sayur di Kilometer 272.9 Lebuhraya Plus arah Selatan petang tadi.

Monday, March 14, 2016

Kemalangan Lori di Nilai - Lebuhraya PLUS

Lagi kemalangan berlaku di Highway Nilai Lebuhraya Utara-Selatan  (Arah Selatan) pada pagi Sabtu yang lalu. Kali ini melibatkan Lori simen yang terbabas disebabkan mengelak kereta yang dipandu secara merbahaya. Mujur lori tersebut tidak menjadikan kenderaan lain sebagai mangsa kemalangan juga.

Beringatlah kita semua, supaya berhati-hati memandu agar tidak menyusahkan orang lain menjadi mangsa di atas kecuaian kita.


NILAI - Sebuah lori simen terbabas lalu masuk longkang dalam kemalangan di Kilometer 275 Lebuhraya Utara - Selatan, arah Selatan, di sini, sekitar jam 7.52 pagi semalam.
Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fauzi Shamir berkata, bagaimana pun pemandu terbabit yang berusia 40 tahun hanya mengalami cedera ringan di bahagian bawah mata kiri.
“Pada awalnya, kita dimaklumkan ada kejadian lori simen terbakar. Sebab itu sebuah jentera, termasuk tangki air dan kenderaan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dikejarkan ke sana.
“Tapi setibanya di lokasi, kita dapati tidak berlaku sebarang kebakaran. Sebaliknya lori berkenaan hanya terbabas ke dalam longkang,” katanya.
Justeru, kata Mohd Fauzi, tiada proses pemadaman dilakukan dan pihaknya sekadar memberikan rawatan awal kepada mangsa.
“Selain itu, kita bertindak memotong tiang lampu yang mengganggu lalu lintas akibat dirempuh lori tersebut. Lebih kurang 10 minit diperlukan untuk menyudahkannya.
“Difahamkan, lori dipandu mangsa hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kenderaan lain yang didakwa memotong dalam keadaan bahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 13/03/2016 oleh Sinar Harian
Info Gambar: Pemandu Lori dibantu oleh anggota BOMBA Nilai.

Saturday, March 12, 2016

Gambar Kebakaran di Kilang Recron, Nilai


Gambar Kilang Recron terbakar di Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan pada 10 Mac 2016. Dulu dikenali sebagai Kilang Hualon.


NILAI - Dua lelaki pekerja sebuah kilang tekstil di Kawasan Perindustrian Nilai, di sini, cedera ringan akibat terkena serpihan letupan dalam kebakaran, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan, kira-kira 10.20 pagi.

“10 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mantin dan Seremban 2 termasuk Unit Bahan Bahaya (Hazmat) dan Perkhidmatan Respon Perubatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi dengan kekuatan seramai 40 pegawai dan anggota.

“Sebaik sampai, semua pekerja telah pun berada di kawasan selamat dan dua pekerja asing berusia 30-an yang cedera sudah pun dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini  untuk mendapatkan rawatan,” katanya di sini, semalam.

Norazam berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kebakaran terbabit berpunca daripada bilik utama pendingin hawa di tingkat empat yang terbakar sebelum merebak ke tingkat satu bangunan.

Menurutnya, api berjaya dikawal kira-kira 11.50 pagi dan operasi keseluruhan berakhir jam 1.55 petang.

Namun siasatan lanjut akan terus dijalankan dan kos sebenar kerugian masih belum dikenal pasti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 11/03/2016 oleh Sinar Harian:Kilang terbakar, dua pekerja cedera
Info Gambar: Facebook.





Sumber : Facebook